Recent Posts

Like This Blog ?

Sabtu, 16 Julai 2011

Tenggelam dalam Iluminati ...

Apakah tujuan kehidupan?

Apakah hakikat kehidupan?


Adakah perkara-perkara yang anda lakukan sehari-hari adalah signifikan terhadap hidup yang singkat?


Budaya idola yang melanda seluruh dunia (K-pop, Lady Gaga dan Justin Bieber, Akademi Fantasia) membuatkan masyarakat menghabiskan terlalu banyak masa mengikuti perkembangan idola-idola mereka. Apa yang dibuat oleh idola mereka pula? Hanya berlatih hari demi hari, jam demi jam, hatta minit demi minit, dan bergerak dari pentas ke pentas untuk menghiburkan peminat-peminat mereka. Mereka mempamerkan suatu ‘imej rekaan’ supaya disenangi oleh si peminat(terutama budaya K-pop), sedangkan imej sebenar mereka adalah berbeza. Jadi si peminat memuja, memekik melolong meminati suatu ‘imej rekaan pentas’, yang diperagakan oleh seorang idola. Itulah kitar hidup seorang peminat dan seorang idola. Adakah itu menunjukkan suatu kehidupan? Melakukan sesuatu yg tak bererti untuk menyokong sesuatu yang tak bererti. Ia adalah suatu kitaran ketidakberertian.

Kita menonton televisyen. Banyak program menarik. Setiap hari banyak jam yang dileburkan untuk mengetahui kisah lanjut drama-drama cinta murahan yang ‘direka’. Terlalu sedikit karya yang mencabar otak dan membuat kita berfikir. Biarpun sedar apa yang ditonton adalah fiksi murahan, namun apa yang ditonton oleh mata dihadam sebagai ‘sesuatu yang benar terjadi’ oleh otak. Maka, kita akan rasa begitu ‘engaged’ dengan cerita yang ditonton, walaupun kita tahu hakikat bahawa semuanya adalah rekaan. Jadi kita berbincang bersama teman sepejabat, dan jiran, “Watak A tak patut buat watak B begitu”, dan “Tak sabar nak tunggu episod seterusnya”. Sutradara dan pelakon akan terus meleburkan masa dalam hidup mereka untuk menghasilkan karya picisan yang akan terus meleburkan pula masa si penonton. Adakah itu sesuatu yang bererti? Satu lagi kitaran lengkap ketidakberertian.


Fungsi asal otak adalah untuk berfikir. Fitrah manusia, kita berfikir untuk merungkai erti kehidupan. Itulah tujuan akal, untuk mencari suatu keberertian.


Setiap perkara di dunia akan cuba kembali ke keadaan asal (seperti metal yang akan cuba kembali menjadi ore seperti fitrah kewujudannya). Apabila hidup ini terlalu dipenuhi dengan perkara tidak bererti dan ‘mengkhayalkan otak’, jadi sekali kita berhenti melakukan aktiviti2 tidak bererti ini (seperti ketika kita berseorangan, tidak melakukan apa-apa di rumah atau yang seumpa dengannya), maka otak kita akan cuba kembali ke ‘hakikat asalnya’-berfikir dan berfungsi untuk mencari keberertian hidup.


Pada ketika itu, kita akan mula berasa suatu cetusan kesedaran, bahawa semua ketidakberertian (aktiviti-aktivit lagha) yang selama ini kita lakukan dan gelumangi, adalah sebenarnya suatu kesepian dan kepalsuan, seperti logamaya.


Saat itu, kita berasa kosong.


Namun, kita tidak suka rasa kekosongan itu padahal ia adalah suatu kebangkitan kesedaran (actualization) yang berlaku pada otak kita. Kita cipta pula aktiviti-aktiviti tidak bererti yang lain, supaya rasa kekosongan itu akan hilang. Karaoke, wayang, clubbing, lepak dan sebagainya, semuanya ibarat logamaya semata-mata. Bagai terawang-awang dalam kenikmatan.


Apa ertinya kehidupan kita? Kita sudah tidak mahu lagi hidup seperti zaman bilamana semua manusia cuba merungkai apa itu kehidupan.; Bagaimana alam ini berfungsi?; Bagaimana cara alam ditadbir Tuhan?; dan sebagainya.


Ilmu yang kita pelajari di universiti hanyalah untuk mendapat mendapat satu jawatan yang bidang kerjanya diruncingkan hanya kepada aplikasi yang tidak pun menggunakan sepenuhnya falsafah cabang ilmu yang kita pelajari. Sekali dapat duit gaji, kita juga akan laburkan ke arah aktiviti-aktiviti tidak bererti. Otak kita akan terus berkarat dan berkarat, dan akhirnya sukar lagi untuk berfungsi dengan baik. Kita tidak kisah semua itu, asalkan dapat duit, dapat hidup (walaupun secara tidak bererti). Kita belajar pandai-pandai hanya untuk menjadi bodoh semula.


Apa yang boleh kita lakukan? Tiada apa-apa. Kerana kita bagai telah ditelan oleh iluminati. Tiada lagi jalan keluar.


Saya memandang cara kehidupan kita tidak ubah seperti yang terpapar dalam trilogy The Matrix. Manusia ibarat boneka-boneka tidur yang hanya disedatifkan dengan nikmat dunia, terus hidup dalam khayalan. Bagi manusia yang sedar akan hakikat kehidupan mereka, mereka ibarat hidup di dalam neraka, sedang yang terus khayal bagaikan hidup di dalam syurga. Dunia itu ibarat neraka bagi orang beriman, dan syurga bagi orang musyrik.



Kerana itu dalam apa-apa yang kita lakukan, kita mesti berpada-pada. Liburlah, tetapi berpada-padalah. Ikut syariat dalam liburan, semoga Tuhan menerangkan kabus yang berada depan mata kita supaya kita tidak sesat. Matlamat kita adalah akhirat, bukan dunia. Dunia hanyalah ‘jalan’ utk ke destinasi akhirat kita; ia bisa jadi jalan mati, jalan bersimpang siur, jalan beronak duri, atau mungkin highway. ‘Jalan’ yang mana satu yang akan kita lalui, semuanya bergantung bagaimana cara kita ‘hidup’ di dunia.

0 komen ! anda pula ?:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Sponsor Post !